Hussin Gan merupakan gelandangan yang sering tidur di kaki lima, dan kebanyakannya di sekitar Hotel E&E Seri Cemerlang, Kota Bharu. Pengerusi telah dihubungi oleh Madam Foo, dari Persatuan Buddha Kelantan. Hussin Gan berumur 55 tahun, tidak cukup umur (60 tahun) untuk mendiami Rumah Seri Kenangan di Pengkalan Chepa. Beliau sakit kaki untuk tinggal di homestay milik Bro Mohd Michael yang perlu naik tangga. Manakala beliau tidak sesuai untuk tinggal di rumah perlindungan MAIK di Panji kerana terlalu terpencil dari orang ramai. Beliau pernah tinggal di sana selama 3 minggu dan lari dari sana. Kami juga berjaya dapatkan tempat di rumah orang tua di Kuantan, tetapi beliau enggan pergi. Adik perempuan beliau yang beragama Buddha (Cikgu Gan) ingin menjaga beliau tetapi beliau enggan. Beliau lebih selesa tidur di jalanan, agar senang untuk beribadat di surau Dusun Raja. Penduduk di sekitar Dusun Raja begitu mengenali beliau dan mesra serta mengambil berat ke atas beliau.
Atas dasar kemanusiaan, Persatuan Buddha (Madam Foo) juga telah mendirikan pondok sementara (atas tanah persendirian) untuk Hussin Gan berteduh di waktu panas dan hujan. Pihak kebajikan MACMA Kelantan yang terdiri daripada Pengerusi (Johari Yap), Bendahari (Hasmuni Chew) dan Setiausaha (Nor Asikin Ong) telah melakukan lawatan pada 10 Julai 2015 untuk memantau dan memastikan kebajikan beliau terjaga.
Makan minum beliau dijaga oleh warung sebelah pondok beliau dengan bayaran RM150 sebulan. Pengusaha warung tersebut adalah En Harun (pemastatutin tetap berasal dari Indonesia) dan isterinya, Kak Nor (passport Thailand). Hussin Gan juga mendapat sumbangan zakat dari MAIK sebanyak RM350 sebulan.
Ketika bertemu beliau, beliau sedang jalan kaki dari surau Dusun Raja menggunakan bantuan tongkat dan berkaki ayam.

Hussin Gan berjalan kaki menggunakan bantuan tongkat dan berkaki ayam. Sebelah kanan beliau adalah pondok sementara beliau.
Berikut merupakan pondok sementara untuk Hussin Gan tidur di waktu malam, serta berteduh dari panas dan hujan. Sambungan elektrik (untuk lampu dan kipas) disambung dari surau Dusun Raja. Beliau menggunakan tandas dan bilik air surau untuk mandi dan sebagainya.
Alhamdulillah. Pihak MACMA Kelantan telah mendapat sumbangan daripada penyumbang budiman, iaitu Puan Razahanum Handeri (RM500) dan Dr. Adham (RM100) untuk membantu Hussin Gan.
Pada 12 Julai 2015, Puan Nor Asikin Ong dan Jamilah Chan telah membelikan beliau tilam, bantal dan rak baju untuk keselesaan Hussin Gan. Mereka juga membawa sedikit makanan dan biskut untuk Hussin Gan makan di waktu malam atau waktu lapang.
Puan Nor Asikin Ong juga telah melawat beliau pada 16 Julai 2015. Pihak kami akan melawat beliau setiap minggu serta membawa makanan ringan dan biskut.
Lawatan susulan oleh Kelab Kebajikan Baitul Hijrah (KKBHJ) telah diadakan pada 21/07/2015 untuk memberikan sumbangan kewangan serta lawatan berikutnya pada 27/07/2015 untuk memberikan sumbangan televisyen untuk keselesaan Hussin Gan.