Bantuan Banjir NGO telah ditubuhkan 2 hari selepas banjir besar melanda negeri Kelantan pada penghujung tahun 2014. MACMA Kelantan merupakan salah satu NGO yang bergabung dalam BBNGO di mana Pengerusi MACMA Kelantan, Johari Yap telah dipilih sebagai Timbalan Pengarah Pusat Operasi Banjir BBNGO. Berikut merupakan kronologi banjir “Bah Kuning” 2014:-
Air semakin naik pada 24/12/2014 apabila air di Gua Musang sudah semakin surut. Banjir mula melanda Kota Bharu pada hari Khamis, 25/12/2-14. Ketika itu cuti umum. Pejabat kerajaan semua tutup dan ramai pegawai serta menteri sedang bercuti hujung tahun. Paras air kekal tinggi pada 26 dan 27 Disember 2014 (Jumaat dan Sabtu), dan merupakan hari minggu di Kelantan. Manakala 28/12/2014 (Ahad) pula diisytiharkan cuti peristiwa oleh Kerajaan Negeri Kelantan kerana paras air masih kekal tinggi. Air masih tinggi pada 29/`12/2014 dan mula surut selepas itu.
Bermula dengan gabungan beberapa NGO untuk memberikan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa banjir, gabungan lebih 15 NGO ini juga turut menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir dengan liputan di daerah Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang. Kami juga bekerjasama dengan beberapa NGO 4WD yang merupakan tulang belakang dalam penghantaran makanan ke seluruh daerah yang terjejas.
Secara purata, ada 8-10 misi penghantaran bantuan makanan + doktor sehari. Misi yang paling besar dicatatkan ialah sebanyak 22 misi sehari. Lebih kurang 50-100 sukarelawan yang terlibat di mana separuh adalah doktor. 50 tan makanan dan ubat-ubatan berjaya dihantar. BBNGO bukan sahaja dibantu oleh NGO, tetapi juga alumni sekolah seperti MCOBA, OPA & SDARA.